Taekwondo Malaysia (TM) menjelaskan bahawa Rozaimi Rozali adalah wakil tunggal negara dalam acara kyorugi buat Sukan Asia 2018, namun masih meletakkan harapan kepada atlet lain untuk mampu melayakkan diri.

Buat masa ini, Pengerusi Teknikal Taekwondo Malaysia (TM), R. Dhanaraj, menjelaskan hanya Rozaimi menjalani latihan bersama skuad negara ditemani beberapa atlet pelapis.

Pemilihan Rozaimi ke Sukan Asia 2018 oleh Majlis Sukan Negara (MSN) kerana dia sahaja yang memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Namun, TM sedia mengeluarkan perbelanjaan sendiri jika ada atlet pelapis seperti Iskandar Zulkanain Ahmad mampu menghadirkan sesuatu dalam kejohanan-kejohanan akan datang.

"Pada pendapat saya, persatuan akan cuba membantunya bagi mendapatkan pendedahan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia," kata Dhanaraj.

Mengenai situasi Rozaimi yang difahamkan kurang selesa berlatih berseorangan, Dhanaraj bersedia mengatasi masalah itu dengan membawa seorang jurulatih muda dari Korea Selatan, tidak lama lagi.

"Kami akan mengadakan mesyuarat pada Januari dalam usaha untuk menerapkan lebih ramai atlet untuk beraksi di luar negara serta mendapatkan jurulatih untuk mengendalikan Rozaimi," ujarnya.

Selain Rozaimi, Malaysia juga dijangka mempunyai dua wakil dalam acara poomsae dalam Sukan Asia nanti menerusi Chew Wei Yan dalam individu lelaki dan Yap Khim Wen dalam individu wanita.