Dua harapan terbesar untuk skuad silat negara dalam Sukan Asia 2018, Siti Rahmah Mohamed Nasir dan Muhd Robial Sobri, masing-masing mula mencongak kekuatan lawan dengan meletakkan peserta tuan rumah sebagai halangan utama jika mahu merangkul pingat emas.

Setelah berhempas-pulas untuk pulih daripada kecederaan dan menurunkan berat badan bagi bertanding dalam kelas Puteri D, tiada apa yang mampu menghalang Siti Rahmah.

Kini, fokus pesilat kelahiran Terengganu itu adalah mengkaji setiap kekuatan lawan yang bakal bertanding dalam kelas sama, terutama dari benua Asia Tenggara.

Siti Rahmah melihat peserta tuan rumah yang bakal mendapat sokongan padu di arena sendiri pasti memberi kesukaran besar buat dirinya.

"Kerisauan itu memang ada tetapi saya sentiasa berfikir saya telah melakukan apa yang perlu. Menjalani latihan bersungguh-sungguh serta mengikut segala perancangan, jadi saya hanya tawakal dan berserah.

"Prinsip itu perlu dipegang untuk membolehkan kita terus yakin," katanya.

Sementara itu, Robial sedikit gusar apabila memikirkan peluangnya kerana ini kali pertama dia beralih arah ke kelas Putera I selepas banyak beraksi dalam Putera H, sebelum ini.

"Jika mengikut kekuatan, (peserta) negara-negara seperti tidak begitu diketahui. Saya juga baru bertukar kelas, jadi tidak begitu jelas dengan lawan sebenar.

"Mungkin ia tidak menjadi masalah," ujar Robial.

Mereka berdua ditemui ketika bersama kontinjen pesilat lain sebelum berangkat ke Bukit Fraser dari 1 sehingga 16 Ogos ini bagi menjalani persiapan fasa akhir untuk menghadapi Sukan Asia.