Skuad bowling negara hilang peluang untuk mengaut kilauan pingat emas bagi acara perseorangan dan berpasangan apabila dua acara itu tidak dipertandingkan di pentas Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Ekoran keputusan yang dibuat oleh pihak tuan rumah, Indonesia, Malaysia terpaksa akur apabila menetapkan sasaran minimum satu emas sahaja daripada skuad wanita menjelang saingan pada Ogos depan.

Jurulatih negara, Hollaway Cheah, tidak mahu terganggu dengan format Sukan Asia kali ini dan dia menegaskan skuad negara sudahpun melewati separuh persediaan tatkala aksi bakal berlangsung enam bulan lagi.

“Setakat ini, apa yang kami tahu adalah format bagi Sukan Asia akan diubah daripada enam emas kepada tiga. Kami akan beraksi bagi kategori trio kerana berpasangan dan perseorangan sudah tiada dan hanya dua atlet akan beraksi dalam kategori master,” katanya.

Nama-nama seperti Shalin Zulkifli,Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Roslan dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi antara yang dipertanggungjawabkan untuk menyumbang emas buat negara dalam Sukan Asia nanti.

Cabaran Eropah Brunswick 2018 yang berlangsung bulan depan pula merupakan antara kejohanan yang akan disertai wakil Malaysia sebagai persediaan sebelum ke Indonesia.

“Aksi pasukan wanita adalah sasaran utama saya untuk mempamerkan aksi terbaik dan sudah tentu skuad lelaki juga berpeluang untuk menang tetapi ia mungkin menjadi sedikit sukar dengan kehadiran pesaing seperti Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan tuan rumah, Indonesia.

“Buat kem wanita, kami harus berwaspada dengan ancaman Korea dan Singapura.”