Sukan Asia: Latif tolak peluang beraksi di Indonesia

Oleh Staff Writer 5 Ogos 2018 397
Sukan Asia: Latif tolak peluang beraksi di Indonesia
Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, menolak peluang untuk menyertai Sukan Asia Indonesia 2018 walaupun mencipta kejutan melepasi had kelayakan kategori A.

Latif mencipta sensasi apabila muncul atlet tunggal lompat jauh negara yang melepasi had kelayakan kategori A susulan kejayaan melakukan lompatan 7.85 meter ketika menjuarai Terbuka Kuala Lumpur, hari ini.

Catatan itu membolehkannya melepasi had kelayakan dengan kelebihan 0.04m selain turut memperbaharui catatan peribadi terbaiknya.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Perlis itu tidak merancang untuk beraksi di pentas Sukan Asia yang bakal bermula pada pertengahan bulan ini.

"Terima kasih sahajalah, saya mahu tumpukan fokus untuk peringkat Asia Tenggara dulu. Sukan Asia saya lupakan. Kini, saya mempersiapkan diri untuk Sukan Para ASEAN dan juga Sukan SEA tahun depan.

"Jika diberi peluang, mungkin saya akan tetap menolak," katanya. 

"Seperti yang diketahui, tarikh tutup adalah pada 30 Jun lalu dan nama dia tidak tersenarai. Kami akan berbincang tetapi buat masa ini, namanya memang tiada," ujar ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.

Sementara itu, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, menerbitkan berita gembira dan membayangkan pingat dalam Sukan Asia 2018 apabila melepasi catatan 2.26m, namun menerima tamparan kerana jurulatihnya, Alex Stewart, tidak akan mengiringinya dan Nauraj Singh ke Indonesia.

Hup Wei membuktikan dia adalah prospek terbaik untuk meraih pingat lompat tinggi apabila melepasi 2.26m, memegang kelebihan 0.01m berbanding pemenang gangsa ketika saingan di Incheon, empat tahun lalu.

Dia yang bakal membuat penampilan ketiga di pentas Sukan Asia telah mengatasi Nauraj yang melepasi 2.23m.

Namun, mereka dikejutkan dengan perkhabaran Stewart tidak dapat bersama di Jakarta.

"Kini, jurulatih berada di Indonesia tetapi kami tidak mengapa, kami di sini harus meneruskan latihan. Kami juga akan mengkaji setiap kesilapan sebelum menampilkan aksi terbaik di sana," kata Hup Wei.

"Tujuan utama untuknya berada di sini adalah untuk memberikan ilmu dalam aspek teknikal dan ia dilakukan melalui tayangan video," tambah Nauraj.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen