Atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo, masih bergelut dengan kecederaan ibu jari tangan yang dikhuatiri mampu menjejaskan aksinya di pentas Sukan Asia Indonesia 2018.

Urat ibu jari tangan kanan Jeremiah putus sejak Mac lalu dan kesakitan itu masih lagi dirasakan sehingga kini.

Dia bimbang kesakitan yang berterusan mampu mengganggu aksinya dalam saingan Sukan Asia, khususnya dalam rutin kegemarannya, iaitu kekuda berpelana yang lebih banyak menggunakan kekuatan pergelangan tangan.

"Saya akui bergelut kerana masalah kecederaan yang dihadapi. Masalah pada bahagian jari membuatkan saya sentiasa berasa sakit apabila cuba mendapatkan sokongan," katanya.

Skuad gimnastik artistik lelaki tidak banyak menyertai kejohanan luar negara selepas berakhir Sukan Komanwel Gold Coast dan hanya mengharapkan sesi latihan yang lebih intensif untuk persiapan Sukan Asia.

Justeru, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu ingin bersikap realistik dengan menyasarkan kedudukan lapan terbaik sahaja bagi rutin kegemarannya itu.

"Kami tidak menyertai kejohanan, jadi memiliki lebih banyak masa untuk mempersiapkan diri. Ia tidak begitu teruk walaupun akan kekurangan pengalaman.

"Ia tetap bagus," tambahnya.