Hasrat untuk melihat kelibat penerjun nombor satu negara, Cheong Jun Hoong, melakukan kejutan di pentas Sukan Asia Indonesia tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan lutut yang kronik.

Kecewa dan sedih, namun itu tetap tidak mengubah situasi yang dialami Jun Hoong ketika ini.

Malah, dia terpaksa akur untuk melewati tempoh pemulihan yang panjang, iaitu sekitar enam hingga sembilan bulan, sekali gus menafikan aksinya dalam Sukan Asia bermula 18 Ogos ini.

Kesakitan yang dialami Jun Hoong sejak dua minggu lalu menjadi semakin parah setelah mengalami bengkak kali kedua yang menambahkan lagi kesukaran juara dunia itu untuk menjalani latihan harian.

"Ia mula bengkak dan saya menemui doktor. Saya melalui beberapa proses pemulihan dan berharap dapat beraksi buat negara tetapi malangnya terpaksa melupakannya," kata Jun Hoong.

Menurut Pengarah Bahagian Perubatan, Institut Sukan Negara (ISN), Dr Arshad Puji, kecederaan terbaru Jun Hoong berpunca daripada kesan kecederaan lama.

"Kecederaan itu berlaku pada tahun lepas tetapi ia mengganggu dan menjadi penyumbang kepada situasi ketika ini," ujar Dr Arshad.

Ketiadaan Jun Hoong menyaksikan Nur Dhabitah Sabri diberi tanggungjawab untuk beraksi bagi kategori 10 meter platform individu manakala 10m terjun seirama bakal menampilkan gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee dalam memikul cabaran di Indonesia nanti.

Sementara itu, ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menerima perkhabaran itu dengan hati terbuka sambil menyifatkan kesihatan atlet sebagai keutamaan berbanding persembahan di Indonesia nanti.

Pendapat itu turut disokong Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, dan Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

"Saya faham akan keadaan kesihatan dia dan itu seharusnya menjadi keutamaan bukan sahaja buat persatuan tetapi Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Daripada segi kutipan pingat, saya pasti bahawa persatuan dan pelatih serta pengurus pasukan mempunyai rancangan lain," kata Azim.

"Jun Hoong terpaksa diketepikan untuk Sukan Asia akibat kecederaan serius tetapi kami akan menunggu nasihat doktor untuk langkah seterusnya," tambah Mae.

"Juara dunia tentunya kecewa dia tidak dapat bersaing dalam Sukan Asia tetapi kesihatan untuk jangka panjang pastinya lebih penting," ujar Newenham.