Juara wusyu dunia, Wong Weng Son, bimbang dengan status acaranya, jianshu lelaki, apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia 2018 (INASGOC) bercadang menggugurkan satu daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan Ogos nanti.

Acara jianshu lelaki tidak pernah dipertandingkan dalam sejarah Sukan Asia. Justeru, ia dilihat paling terancam apabila INASGOC bercadang menggugurkan dua emas, masing-masing daripada wusyu dan sambo (seni mempertahankan diri) demi memberi laluan kepada menembak.

Juara dunia itu terkejut kerana ia peluang terbaik mereka untuk menyumbang emas kepada Malaysia.

"Kami akan menjalani sesi pemilihan dan tempat saya belum dapat dipastikan lagi.

"Walaupun satu acara digugurkan, namun saya masih mempunyai acara lain dalam Sukan Asia. Untuk itu, saya akan mencuba sedaya-upaya," katanya.

Wusyu gagal meraih sebarang emas dalam Sukan Asia Incheon 2014 apabila kejayaan Tai Cheau Xuen dalam nandao-nanquan dibatalkan selepas positif bahan terlarang.

Ia menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran dengan lima emas, 14 perak dan 14 gangsa, sekaligus menghuni tangga ke-14 keseluruhan.

"Saya berharap dapat menyertai dan memenangi Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

"Paling penting, saya perlu kekal positif untuk mencuba dalam kejohanan-kejohanan lain," tambahnya.