Atlet renang berirama negara, Stephanie Gan Hua Wei, mengharapkan ada ruang mampu diberikan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) andai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) gagal membantu penyertaan mereka dalam Sukan Asia, Ogos depan.

Skuad renang berirama negara terkeluar daripada kriteria yang dimahukan MOM merujuk kepada penyertaan dalam Sukan Asia Incheon empat tahun lalu di mana Malaysia berada di kedudukan keenam.

Walaupun pihak ASUM sudah menghantar rayuan kepada MOM, itu bukan lagi jaminan untuk status kategori renang berirama negara ke temasya empat tahun sekali itu.

Bagi Hua Wei, jika MOM tidak dapat membantu, dia mengharapkan ASUM mempunyai pelan B untuk skuad renang berirama negara terus mendapat tempat bagi penyertaan di Indonesia nanti.

"Saya berharap untuk beraksi dalam Sukan Asia walaupun berada dalam kategori B kerana kami masih lagi terus menjalani latihan," katanya.

Sementara itu, jurulatih negara, Long Yan, menegaskan Lee Hying Huey yang menjalani pembedahan bahu awal tahun ini juga berada dalam perancangannya.

Namun, hal itu bergantung kepada status penyertaan negara ke Sukan Asia nanti.

"Buat masa ini, kami tidak tahu sama ada dapat beraksi dalam Sukan Asia dan mengharapkan berita positif daripada MOM. Saya yakin Hying Huey dapat memberikan persembahan terbaik jika kami tersenarai ke Indonesia," kata Long Yan.