Sukan Asia: Faizal lebih bersedia

Oleh Penulis Jemputan 28 Disember 2017 31
 Sukan Asia: Faizal lebih bersedia
Atlet pelayaran negara, Mohamad Faizal Norizan, percaya dia berada di landasan tepat untuk memberi cabaran kuat dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan berlandaskan persiapan yang dilakukannya sepanjang tahun ini.

Faizal bakal bersaing dalam acara international 470 dalam temasya sukan itu bersama pasangannya, Ahmad Shukir Abdul Aziz, dan sudah menjalani latihan sebulan di Greece di bawah kendalian jurulatih, Dimitris Lekakis.

Sukan Asia 2018 adalah penampilan kedua Faizal bersama Shukri selepas cemerlang meraih emas acara international 420 dalam Sukan Asia Incheon 2014.

"Persiapan sekarang sangat mantap sebab bulan lepas kami berada di Athens selama sebulan. Persiapan seterusnya adalah di Eropah pada tahun depan, termasuk enam perlawanan bagi kelayakan Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

"Sasaran saya adalah untuk mendapatkan pingat (dalam Sukan Asia) sebab kami ada peluang, tidak tahu warna apa. Cuma kami perlu bekerja keras," katanya.

Dalam pada itu, atlet berasal dari Klang itu sedar cabaran kini lebih sukar dalam saingan international 470.

Namun, Faizal yakin dia dan Shukri akan bersedia sepenuhnya di Indonesia nanti.

Dua atlet itu sudah memberi petanda dapat menyesuaikan diri untuk kelas international 470 dengan meraih emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

"Sainagan itu sangat berbeza kerana ia (international 470) adalah kelas Olimpik. Dalam kelas itu, ia terbuka, tiada had umur.

"Juara sekarang pun berumur 35 tahun, jadi pengalaman kami jauh berbeza. Kami perlu berlatih dengan orang yang lebih hebat," ujarnya. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen