Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengakui keliru apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) menukar lagi acara dalam Sukan Asia sehingga memaksanya berlepas ke republik itu, esok.

Apa yang menyukarkan, katanya, INASGOC tidak memaklumkan perkara itu secara rasmi hingga memaksa MOM bertindak proaktif untuk mendapatkan gambaran sebenar.

Berdasarkan maklumat terkini, acara memanah compound berpasukan dibatalkan untuk digantikan dengan saingan individu sementara karate-do menambah satu acara, iaitu kumite 75kg.

"Kami sekarang ini pun keliru sebab kami difahamkan ia berlainan berbanding di dalam buku.

"Misalnya, dalam memanah, kami dimaklumkan bahawa acara compound itu adalah berpasukan tetapi dalam buku teknikal, ia adalah acara individu. Jadi, kami menunggu pengesahan apa yang betul," katanya.

Jelas Beng Choo, situasi itu menghalang skuad compound negara memulakan kem latihan di Bukit Jalil kerana ia bergantung kepada acara Sukan Asia.

Pada kelazimannya, setiap negara penganjur perlu memuktamadkan jumlah dan jenis acara setahun sebelum temasya sukan bermula.

"Indonesia juga hendak memastikan pencapaian yang boleh dikatakan memadai dengan kos yang dibelanjakannya. Daripada segi infrastruktur, boleh dikatakan Sukan Asia ini adalah yang terbesar," tambahnya.

Indonesia memulakan persiapan Sukan Asia 2018 sejak tiga tahun lalu selepas menggantikan Vietnam yang menarik diri sebagai penganjur.