Keajaiban berlaku buat skuad memanah compound negara apabila Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan acara itu kembali dipertandingkan dalam Sukan Asia 2018.

Pengesahan acara itu akan kembali dipertandingkan dalam Sukan Asia merupakan hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INAGSOC).

Mesyuarat jawatankuasa penganjur bersetuju untuk mempertandingkan semula acara compound walaupun hanya membabitkan acara berpasukan.

OCA dan INAGSOC bersetuju bahawa tiga acara akan dipertandingkan, iaitu compound berpasukan lelaki, wanita dan campuran.

"Ini merupakan berita baik untuk Malaysia. Skuad memanah compound negara mampu menghasilkan keputusan dalam Sukan Asia nanti," kata Beng Choo.

Semua pemanah compound negara sudah pulang ke kampung halaman masing-masing sejak tamat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu

Ia susulan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) merehatkan program skuad compound kerana acara itu turut tidak dipertandingkan dalam Sukan Komanwel Gold Coast pada April depan.

Perkembangan terbaru ini bermakna sukan memanah dalam Sukan Asia 2018 akan menawarkan lapan pingat emas, termasuk lima daripada recurve.

"Sebagai atlet, mereka perlu berada pada tahap terbaik bagi meghadapi sebarang kejohanan dan sentiasa berada pada tahap terbaik."

"Saya sangat gembira dengan berita ini dan akan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan tempat ke dalam skuad negara menghadapi saingan Sukan Asia," kata pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki.

"Mendapat perkhabaran ini, ia telah menyuntik semangat saya untuk terus mempamerkan aksi terbaik dan meneruskan persiapan bagi menghadapi saingan di Jakarta-Palembang nanti," kata pemanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.