Ketiadaan acara perseorangan dan juga beregu dalam Sukan Asia Jakarta/Palembang pada Ogos depan tidak menjejaskan peluang skuad boling tenpin negara dalam pemburuan pingat.

Amat mengejutkan apabila tuan rumah, Indonesia, mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan acara individu serta beregu.

Susulan itu, saingan trio, enam sepasukan serta Masters menjadi tumpuan untuk meraih pingat.

Bagi pemain negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malik, situasi itu tetap memberi peluang buat Malaysia walaupun mengakui kecewa tidak dapat menyerlahkan kemampuan individu.

"Kalau dilihat, Malaysia jelas lebih kuat untuk acara berpasukan. Kami rasa mungkin pencabar sebenar adalah dari Korea Selatan, hanya satu atau dua negara sahaja," kata Syafiq.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi pemain negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Skuad wanita pastinya lebih menjadi tumpuan berdasarkan kejayaan mereka bergelar juara dunia, tahun lalu.

Mereka yang baru pulang dari siri pertandingan di Eropah dijangka akan menyertai beberapa lagi pertandingan, antaranya Siri Jelajah Profesional di Amerika Syarikat, Jun nanti sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia.

"Kebiasaannya kami akan mempunyai wakil individu atau berpasangan dalam kejohanan besar tetapi kali ini, ia lebih kepada acara berpasukan. Jadi, ia memberi kelebihan kepada kami kerana kami lebih menyumbang dalam acara itu dan ia tidak memberi tekanan," tambah Siti Safiyah.