Wakil Malaysia yang mengikuti forum media Sukan Asia 2018 berpuas hati dengan persiapan Palembang walaupun wujud kebimbangan mengenai jadual penganjur bagi menyiapkan venue dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa, berkata sekalipun penganjur kesuntukan masa bagi menganjurkan kejohanan ujian, mereka dijangka berjaya menyiapkan sepenuhnya venue bagi kejohanan sebenar pada Ogos tahun depan.

"Saya percaya majoriti (venue) mampu disempurnakan sebelum bermulannya Sukan Asia. Kalau ada kekurangan, mungkin daripada segi kesuntukan masa untuk mengadakan ujian di gelanggang-gelanggang.

"Tetapi untuk semua gelanggang siap sebelum temasya sebenar, saya percaya ia dapat dilakukan," katanya.

Sementara itu, wakil Majlis Olimpik Asia, Tony Mariadass, berkata: "Dalam semua temaysa sukan, memang persiapannya tersasar sedikit daripada jadual kerana keadaan cuaca dan lain-lain.

"Tetapi apabila sampai masanya, semuanya akan siap."

Temasya sukan terbesar Asia itu akan berlangsung di Jakarta dan Palembang, dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.

"Mengenai pengangkutan LRT, ia dikhabarkan boleh siap pada Februari depan. Tetapi apa yang dilihat mugkin tidak berjaya.

"Bagaimanapun, kita tidak tahu apa perancangan pihak Palembang. Apa yang saya percaya, mereka sedang bertungkus-lumus menyiapkannya," kata Naib Presiden SAM, Izahar Atan.