Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang, Indonesia kesuntukan masa untuk siap sepenuhnya bagi kejohanan ujian Sukan Asia 2018 walaupun Gabenor Sumatera Selatan, Alex Noerdin, memberi jaminan semua projek pembinaan mengikut jadual.

Kompleks itu dinaik taraf hampir 50 peratus berbanding ketika menganjurkan Sukan SEA pada 2011, termasuk pembinaan venue baru bagi boling tenpin dan menembak.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) menetapkan 10 sukan akan mengadakan kejohanan ujian secara serentak pada Februari depan dengan tidak membabitkan Palembang.

Namun, mereka berusaha mengikut jadual yang ditetapkan INASGOC, sekali gus berpeluang menguji venue menggunakan atlet tempatan.

"Kediaman sudah disiapkan dengan sempurna, dan ia dilengkapi pelbagai kelengkapan yang baik," kata Pengurus Jawatankuasa Perkampungan Atlet, Bambang Suprinyanto.

Sementara itu, salah seorang wartawan Indonesia, Sofyan Syafril, berkata: "Diharapkan perancangan dapat disiapkan untuk tetamu Sukan Asia.

"Saya berharap mereka berpuas hati dengan venue yang disiapkan di Jakarta mahupun di Palembang."

Palembang berpengalaman menganjurkan beberapa temasya sukan besar. Mereka pernah menjadi tuan rumah Sukan SEA 2011, Sukan Perpaduan Islam 2013 dan Sukan Universiti ASEAN 2015.

Dalam Sukan Asia nanti, sebanyak 10 sukan akan diadakan di Palembang sementara baki 30 lagi dianjurkan di Jakarta.