Atlet taekwondo poomsae negara, Sara Yap Khim Wen, yang baru menjalani pembedahan pinggul menganggap dia perlu memanfaat masa pemulihannya ketika ini.

Tidak mengeluh, wanita tabah itu janji kembali lebih kuat untuk mewakili Malaysia bagi saingan akan datang.

Kecederaan adalah perkara sinonim untuk dikaitkan dengan Sara selaku atlet negara lebih-lebih lagi selepas terpaksa menanggung kecederaan itu selama satu tahun enam bulan.

Ini sebelum Sara mengambil keputusan menjalani pembedahan dikala penularan wabak Covid-19 menyaksikan tiada sebarang kejohanan dianjurkan.

Atas nasihat doktor, Sara terpaksa direhatkan dalam tempoh 5 hingga 6 bulan untuk pemulihan sepenuhnya.

"Situasi Covid-19 ini merupakan peluang untuk saya bertemu dengan doktor dengan lebih kerap dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan," kata Sara.

Sara dalam masa sama melaung keyakinan tiada kebimbangan sepanjang masa rehatnya, malah akan kembali dengan latihan asas dalam tempoh dua bulan.

"Saya yakin untuk kembali ke tahap terbaik selepas ini. Kecederaan perkara yang normal buat mana-mana atlet."