STL: Kelantan Warriors lonjak ke tangga kedua carta liga

Oleh Farizal Yusoff 11 November 2017 406
STL: Kelantan Warriors lonjak ke tangga kedua carta liga
Selepas juara bertahan, Penang Black Panthers, mengesahkan kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) buat kali kedua berturut-turut dengan mengalahkan Terengganu Turtles 2-0, Kelantan Warriors turun penuh semangat selepas itu untuk menyingkirkan ATM Guardians 2-0 di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, malam tadi.

Kelantan Warriors yang menurunkan gadingan utama, Mohd Hisyam Mat,  Aidil  Aiman Zawawi  dan Wan Naim Izani Wan Mohd Noor, jelas bertenaga apabila mendahului 10-2 dalam set pertama sebelum ATM Guardians meminta 'time-out'.

Variasi servis yang digunakan Hisyam atau Pok Se jelas menjadi dan terus memacu regu Pantai Timur ini untuk menang mudah 21-10.

Sedar kemenangan mampu melonjakkan Kelantan Warriors ke tangga kedua carta Liga STL, mereka terus beraksi konsisten dengan libasan menarik Wan Naim Izani menjadi senjata utama. ATM Guardians gagal bangkit, sebaliknya mudah menyerah untuk kekalahan straight set 11-21.

Tekong utama, Hisyam, 26, yakin kemenangan ke atas ATM Guardians memberi motivasi tambahan kepada regunya untuk menentang Selangor Piston, petang ini.

“Alhamdulillah, kita berjaya beraksi dengan baik dan tidak banyak melakukan kesilapan mudah semasa menentang ATM Guardians. 

“Satu lagi perlawanan yang sukar menentang Selangor Piston petang ini kerana pemain mereka cukup berpengalaman,”  katanya.

Untuk rekod, kemenangan keenam Kelantan Warriors membolehkan skuad kendalian Baharil Anuar Che Mamat itu memintas Terengganu Turtles (berdasarkan kiraan set menang) di tangga kedua carta Liga STL biarpun kedua-dua pasukan berkongsi 12 mata dalam 11 perlawanan. 

ATM Guardians jelas merosot apabila sekadar berada di tempat kelima dengan 10 mata daripada 11 perlawanan. 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen