Lebih 40 peserta dijangka menyertai pertandingan papan luncur air yang bakal berlangsung di Pantai Kalampunian di Tanjung Simpang Mangayau, Kudat dari 24 hingga 26 November ini.

Setakat ini, seramai 41 orang telah mengesahkan penyertaan, termasuk dari luar negara dan juga kanak-kanak.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Joniston Bangkuai, berkata pertandingan yang diadakan secara karnival itu adalah bersempena dengan festival muzik dan papan luncur air 'Tip Of Borneo' Kudat 2017.

"Selain pertandingan, orang ramai yang hadir turut berpeluang untuk merasai sendiri aktiviti papan luncur air atau lebih dikenali sebagai "surfing".

"Walaupun sukan papan luncur air ini agak baru bagi kita, namun, ia semakin digemari, khususnya dalam kalangan penduduk tempatan," katanya di Kota Kinabalu, semalam.

Joniston juga menjelaskan Kudat adalah destinasi terbaik bagi penggemar sukan papan luncur air kerana keadaan pantai yang sangat berpasir, air yang jernih dan yang paling penting ombaknya yang besar sehingga boleh mencapai ketinggian antara satu hingga enam kaki.

Beliau juga menambah persembahan hiburan oleh artis-artis popular tempatan turut diadakan pada hari pertandingan.