Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi enggan menarik diri sebagai ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Indonesia bulan depan walaupun sudah ditamatkan perkhidmatannya sebagai pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) berkuatkuasa serta-merta.

Penamatan perkhidmatan Abdul Azim bersama ISN diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali, menerusi satu kenyataan hari ini.

Langkah itu dilakukan selaras dengan saranan kerajaan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai kontrak melalui lantikan politik dan Abdul Azim mengesahkan beliau menerima surat penamatan itu hari ini.

"Status ketua kontinjen ke Sukan Asia itu sebenarnya tiada kena-mengena dengan ISN. Lantikan itu dibuat oleh MOM dan saya sebagai timbalan presiden, ia tidak berkaitan dengan ISN.

"Jadi, dua jawatan itu akan saya teruskan dan seperti apa yang orang sering ucapkan, ia bukan satu pengakhiran," katanya.

Abdul Azim dilantik sebagai pengerusi ISN pada Mei 2017 bagi menggantikan Datuk Seri Norza Zakaria selepas mendapat persetujuan Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Khairy Jamaluddin.

Walaupun menerima keputusan itu dengan hati terbuka, Abdul Azim tidak menafikan beliau sedikit terkilan kerana banyak perancangannya untuk menaikkan taraf dan prestasi ISN tidak kesampaian.

"Visi saya adalah untuk meningkatkan pengurusannya agar menjadi satu institusi yang lebih mantap tetapi seperti kata pepatah, hajat dihati hendak memeluk gunung, apakan daya tangan tak sampai."