Status atlet angkat berat negara, Hafifi Mansor, terus menjadi persoalan apabila Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengesahkan masih belum mendapat maklum balas daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) mengenai keputusan sampel B ujian dopingnya.

Hafifi sebelum ini digantung sementara oleh IWF selepas didapati menggunakan bahan terlarang jenis oxymetholone ketika Kejohanan Terbuka Australia, Mac lalu.

Atlet berusia 27 tahun itu kemudian menuntut ujian sampel B di Sydney, Australia selain mendakwa menjadi mangsa khianat individu tertentu.

Keputusan ujian sampel B itu seharusnya dapat diketahui 19 November lalu, namun Pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail, menjelaskan sehingga kini badan induk itu masih belum menerima sebarang perkhabaran daripada IWF.

"Saya masih belum menerima sebarang keputusan sampel B ujian doping Hafifi. Sepatutnya pada minggu ini kami telah menerimanya dan persatuan akan berusaha untuk melakukan tindakan susulan," kata Abu Hanapah.

Sementara itu, PABM meletakkan harapan kepada Mohd Azroy Hazalwafi agar dapat mengekalkan rentak konsisten bagi menghadapi beberapa kejohanan penting pada 2018.

Azroy menjadi atlet tunggal daripada sukan itu yang berada dalam Program Podium susulan penggantungan sementara Hafifi.

Malah, dia juga menjadi satu-satunya atlet Malaysia untuk menyertai Kejohanan Dunia 2017 di California, Amerika Syarikat, hujung bulan ini.

"Kami telah berbincang dengan jurulatih mengenai persiapan Azroy. Dia merupakan satu-satunya atlet angkat berat yang layak secara automatik ke Sukan Komanwel dan persatuan akan cuba berusaha untuk mendapatkan beberapa atlet menyertai kejohanan tersebut," katanya lagi.