Hampir mustahil untuk pemain skuasy wanita negara era ini berada setaraf Datuk Nicol Ann David tetapi tidak bermakna Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan mengabaikan keperluan memenuhi potensi mereka.

Kejohanan Dunia Wanita yang sedang berlangsung di Kaherah, Mesir ketika ini menyaksikan beberapa pemain negara mencipta kejutan menentang pemain berstatus pilihan.

S. Sivasangari layak ke pusingan ketiga sebelum tumbang di tangan semi finalis dan bintang meningkat naik tuan rumah, Hania El Hammamy, manakala bakat remaja Malaysia, Aifa Azman, melangkah ke pusingan kedua dalam penampilan sulungnya dalam Kejohanan Dunia.

"Sama ada mereka mencapai tahap seperti Nicol atau tidak, saya tidak fikir mereka mampu buat masa sekarang. Namun, kami akan terus cuba membolehkan pemain muda mencapai potensi terbaik," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

Tumpuan selepas ini beralih kepada wakil lelaki yang akan menghadapi saingan Kejohanan Dunia di Qatar bermula 8 November ini.

Dua pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia adalah Ivan Yuen dan Ng Eain Yow yang disifatkan SRAM sebagai harapan terbaik mencetus kejutan.

"Eain Yow adalah pemain yang tahu apa yang diinginkan serta komited. Dia berlatih dengan bersungguh-sungguh."