SRAM mahu selamatkan karier Nicol

Oleh Staff Writer 9 Disember 2018 716
SRAM mahu selamatkan karier Nicol
Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan mengadakan perbincangan lebih serius berhubung masa depan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, dalam masa terdekat selepas pemain itu tidak lagi berada dalam ranking 10 pemain terbaik dunia sejak awal bulan ini.

Ranking Nicol jatuh sehingga ke tangga ke-12 sejak 2 Disember lalu.

Dia juga tidak berupaya mempertahankan status pemain nombor satu Asia.

Ia merupakan kali kedua pemain berusia 35 tahun itu terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia tahun ini sejak November lalu.

SRAM tidak akan berdiam diri dan bakal merangka perancangan baru buat pemenang pingat emas Sukan Asia Indonesia 2018 itu, termasuk menilai semula kedudukan jurulatihnya, Liz Irving, demi menyelamatkan kembali karier ikon sukan negara itu.

"Terdapat pelbagai faktor kejatuhannya.

"Usia merupakan salah satu daripadanya.

"Gaya permainan terkini sudah berubah dan dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan itu," kata Presiden SRAM, Nik Razeen Adam Daud. 

Dalam masa sama, Nik Razeen mengesahkan kedudukan jurulatih Program Podium, Peter Genever, masih dikekalkan untuk mengetuai skuad negara menghadapi musim depan.

"Barisan kejurulatihan skuad negara akan dikekalkan.

"Apa yang diubah Majlis Sukan Negara (MSN) adalah kami akan mengambil alih segala urusan pentadbiran.

"Segala kontrak berkaitan akan diuruskan pihak SRAM," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen