Solihim raih suntikan semangat hadapi 2019

Oleh Staff Writer 25 November 2018 90
Solihim raih suntikan semangat hadapi 2019
Pingat emas yang diraih atlet olahraga para Terengganu, Ahmad Solihim Mohd Noor, dalam Para Sukma Perak 2018 membantunya untuk terus melonjakkan semangat dalam menghadapi tugasan penting pada 2019.

Solihim adalah antara atlet yang membawa cabaran negara dalam temasya Para Asia Indonesia, bulan lalu.

Meskipun tidak membawa pulang pingat, dia dapat memperbaiki catatan peribadi bagi acara 100 meter T46 dengan catatan 11.35 saat.

Selepas tidak mengerah sepenuh tenaga sewaktu aksi separuh akhir di sebelah pagi, cabaran sebenar sudah pasti ketika pusingan akhir.

Di sebalik permulaan sederhana, Solihim meningkatkan rentak dan hasilnya dia menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 11.62s yang juga rekod baru temasya.

Pingat perak menjadi milik atlet Sabah, Eryanto Bahtiar, diikuti V. Serivellen dari Pulau Pinang melengkapkan kedudukan tiga terbaik.

"Untuk Sukma, ia tidak setinggi Sukan Para Asia. Jadi, saya berpuas hati dapat mencatat masa ini.

"Balik daripada kejohanan besar, ditambah jadual padat dengan kelas dan tugasan, ia perlu dibahagikan dengan baik," kata Solihim.

Kejayaan itu juga menyaksikan Solihim buat kali pertama dapat menewaskan Eryanto yang juga rakan sepasukan seniornya dalam skuad negara.

Sudah pasti keyakinan lebih tinggi dapat membantu atlet berusia 28 tahun itu dalam memburu tempat ke temasya Paralimpik Tokyo 2020 nanti.

"Dalam kejohanan besar peringkat kebangsaan, ini yang terbaik. Dalam saingan 2014, saya di tempat kedua manakala 2016 saya terlepas akibat kecederaan. Syukur."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen