Kisah pengembaraan berbasikal mengelilingi dunia secara solo Sofian Mohd mencapai kemuncaknya selepas selamat tiba di Kuala Terengganu, pagi ini.

Bermula pada 29 Julai tahun lalu, Sofian, 56, anak jati Seberang Takir, Kuala Terengganu, melalui perjalanan sejauh hampir 30,000km merentasi 22 negara dan tiba di tanah air melalui Rantau Panjang, Kelantan, Khamis lalu, sebelum meneruskan kayuhan ke negeri kelahirannya ini.

Upacara menyambut ketibaan Ketua Jabatan Pengajian Am, Politeknik Kuching itu dilakukan di sekolah lama beliau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, Kuala Terengganu.

“Pelbagai halangan dan rintangan yang dilalui sepanjang perjalanan dari segi mental dan fizikal, terutama pada awal kayuhan, iaitu selepas melepasi rantau Asia dan hendak memasuki benua Eropah.

“Perbezaan bahasa dan cuaca sangat mencabar di beberapa negara, antaranya Russia, Uzbekistan dan di benua Balkan tetapi Alhamdulillah, Tuhan Maha Kaya sentiasa melindungi saya.

“Setiap hari, saya berkayuh sejauh 80km dan jika cuaca mengizinkan jarak kayuhan mencapai 100km sehari dan hanya berehat pada sebelah malam dengan mencari tempat berteduh yang selamat.

“Peluang merasai sendiri pengalaman di negara orang membuka mata saya betapa rakyat Malaysia hidup aman damai, tidak seperti di negara lain yang sentiasa dikawal ketat anggota tentera.

“Dalam perjalanan dari Timur ke Barat, saya memasuki Thailand dan menuju ke Laos, selepas itu ke kawasan pergunungan di China di mana cuaca mencecah -20°.

“Kemudian benua Afrika pula dilanda wabak Zika ketika itu dan di Eropah juga sangat menguji dengan berlaku krisis pelarian memaksa saya menukar laluan.

“Perkara yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika di China, saya mendapat berita adik saya meninggal dunia dan kejadian itu sangat menyedihkan sehingga saya mengayuh dalam tangisan air mata selama beberapa hari,” ujarnya ketika ditemui.

Kepulangan bapa kepada dua anak itu disambut Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat.