Stadium Nasional Bukit Jalil mencatatkan satu lagi kejayaan apabila merangkul Anugerah Senibina Antarabangsa 2018 kategori sukan dan rekreasi.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman, menegaskan venue itu tidak akan menganjurkan final Piala Malaysia.

Satu lagi anugerah untuk stadium ikonik negara, Stadium Nasional Bukit Jalil, mengetepikan beberapa stadium ternama dunia seperti Stadium Luzhinki (Russia) dan Dewan Putera Mahidol (Thailand) dalam satu majlis anugerah di Athens, Greece.

Ia sekali lagi menambah koleksi pengiktirafan selepas dinobatkan stadium terbaik dunia 2018 tetapi hasrat peminat bola sepak negara untuk menyaksikan final Piala Malaysia 2018 di venue berkapasiti lebih 87,000 orang itu tidak kesampaian.

"KL Sports City menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak, bukan sahaja satu anugerah tetapi pelbagai anugerah. Selain itu, kami juga tercalon dalam satu lagi anugerah, iaitu anugerah Project of The Year, yang akan berlangsung pada November ini dan kami harap dapat memenanginya," kata Azman.

"Sebenarnya, pada 27 Oktober nanti, sudah ada satu acara larian yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Disebabkan itu, kami tidak dapat menjadi venue kepada perlawanan akhir Piala Malaysia," tambahnya.