Hasrat wakil negara, Westports Malaysia Dragons, untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) 2017/18 tidak kesampaian apabila kecundang kepada pasukan jiran, Singapore Slingers.

Saingan di Stadium MABA itu menyaksikan momentum lebih memihak kepada Dragons susulan kemenangan ke atas Formosa Dreamers dari Taiwan serta kelab Vietnam, Saigon Heat, sebelum ini.

Bagaimanapun, Slingers memberikan tentangan yang cukup hebat sambil menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas kutipan mata dalam suku pertama.

Tumpuan terarah kepada dua pemain di bahagian tengah, AJ West buat Dragons serta Chris Charles yang menerajui Slingers.

Corak permainan pantas Dragons menyaksikan mereka mendahului 47-39 sebaik sahaja tamat suku kedua, namun rentak konsisten yang diharapkan oleh tuan rumah tidak berterusan apabila beberapa kesilapan mudah membuka peluang buat Slingers untuk merapatkan kedudukan dan seterusnya mendahului 67-64 menuju suku terakhir.

Kebangkitan yang cuba ditampilkan Dragons gagal dijelmakan dalam suku terakhir, menyaksikan Slingers gah menamatkan saingan hasil kemenangan 94-85.

"Aksi kami dalam babak kedua agak baik. Saya tidak selalu marah dalam sesebuah perlawanan tetapi aksi ini menunjukkan kami mampu menang dan kami gagal meneruskan kecemerlangan.

"Kami pasti akan bangkit dalam dua perlawanan seterusnya," kata pengendali Dragons, Christopher Thomas.