Malaysia terpaksa melupakan lubuk pingat emas, skuasy, dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan apabila negara penganjur itu gagal menubuhkan persatuan kebangsaan dan menyediakan venue pertandingan yang memerlukan kos tinggi.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (b) S. Maniam, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini.

"Yang pertama, tiada persatuan skuasy Vietnam ditubuhkan. Kedua, mereka tiada kelengkapan fasiliti yang sesuai.

"Jadi, tanpa persatuan dan kelengkapan itu, untuk melihat skuasy dipertandingkan dalam Sukan SEA Vietnam tahun depan, ia tidak akan berlaku," katanya.

SRAM enggan situasi sama berlaku dalam Sukan SEA Kemboja pada 2023, di mana negara itu juga tidak mempunyai kemudahan dan persatuan bagi sukan berkenaan.

Badan induk itu sudah mula mengambil langkah proaktif dengan membantu Kemboja dalam mewujudkan persatuan kebangsaan dan menyediakan venue.

"Kami telah menghubungi beberapa orang yang berpotensi di Kemboja untuk menubuhkan persatuan skuasy Kemboja.

"Jadi, perkara pertama itu sedang dijalankan," tambahnya.

Kekecewaan ini turut dikongsi oleh pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, Rachel Arnold, dengan berkata: "Saya berasa gembira kerana memenangi pingat emas dalam dua termasya Sukan SEA berturut-turut tetapi sedih kerana tidak dapat memburu hatrik apabila penganjur tidak menyenaraikan skuasy di Vietnam."