Ketua jurulatih skuad skuasy negara, Ajaz Azmat, meletakkan sasaran tinggi ke atas 12 pemain yang akan membawa cabaran negara dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2019 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, bermula Rabu depan.

Enam pemain wanita akan diketuai Low Wee Wern, yang merupakan juara bertahan, selain seorang lagi pemain senior, Rachel Arnold, manakala bakat muda, Aifa Azman, turut tersenarai.

Sementara itu, skuad lelaki akan ditunjangi dua wakil dalam kalangan lapan pemain pilihan kejohanan, iaitu Ivan Yuen dan Ng Eain Yow.

Jurulatih itu tidak berselindung dengan sasaran untuk skuad wanita dan lelaki dalam misi merebut kejuaraan edisi 2019 berkenaan.

"Kami telah membuat persiapan yang baik.

"Kami mempunyai pemain yang bagus dan bekerja keras.

"Kami menyasarkan untuk ke final," kata jurulatih dari Pakistan itu.