Sukan skuasy di Malaysia ibarat menjalani fasa kuarantin apabila Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memanggil semula semua pemain negara yang berada di luar negara untuk kembali ke tanah air.

SRAM mengeluarkan keputusan untuk kesemua pemain negara menarik diri daripada beberapa kejohanan antarabangsa susulan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, badan induk itu juga tidak dapat menafikan bahawa mereka masih buntu untuk mencari penyelesaian sesuai bagi menyuntik semangat pemain untuk meneruskan latihan seperi biasa.

"Pemain kami yang bersaing di Pakistan, India, Switzerland dan Mesir sudah menarik diri," kata Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam.

"Kesemua pemain akan pulang ke sini.

"Pemain yang berada di sini tidak akan ke luar negara sehingga keadaan kembali terkawal.

"Jika keadaan ini berterusan, kami tiada pilihan selain mengadakan satu kejohanan dalaman dengan insentif yang kecil.

"Ia untuk memberikan pemain kami motivasi bagi meneruskan latihan" katanya.