Penganjuran Kejohanan Skuasy Kebangsaan Edisi Ke-26 kembali dengan kehadiran pemain terbaik Malaysia di samping prosedur operasi standard (SOP) ketat berikutan peningkatan semula kes COVID-19 di negara.

"Ini akan menjadi saingan yang kompetitif, apatah lagi ia kejohanan kompetitif pertama kali sejak COVID-19 merebak.

"Jadi ia akan sukar buat semua pemain, lebih-lebih lagi saya perlu menghadapi Low Wee Wern, Rachel Arnold dan S. Sivasangari.

"Semua pemain mahu menang selain merebut tempat dalam skuad kebangsaan," kata Aifa Azman, dalam majlis pengumuman kejohanan itu di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Pemain lelaki kebangsaan, Syafiq Kamal, pula meletakkan jangkaan tinggi terhadap diri sendiri: "(Kejayaan) memenangi gelaran ini pasti lebih bermakna seandainya Ng Eain Yow mengambil bahagian tetapi dia kini berada di United Kingdom (UK).

"Oleh itu peluang saya akan menjadi lebih cerah termasuk Ivan Yuen dan pemain senior lain.

"Kami baru kembali berlatih sejak kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberikan, memandangkan ini merupakan kejohanan kompetitif kami, jadi saya rasa semua pemain ada peluang sama rata.

"Bagaimanapun, berlandaskan pengalaman, saya berpeluang cerah."