Skuasy Kebangsaan: Wee Wern masih terlalu unggul buat Sivasangari

Oleh Muzaffar Musa 11 Oktober 2020 129
Skuasy Kebangsaan: Wee Wern masih terlalu unggul buat Sivasangari
Impian S. Sivasangari untuk merampas kejuaraan dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan tidak kesampaian apabila tewas kepada pilihan utama kejohanan, Low Wee Wern, dalam final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Turun sebagai pemain pilihan kedua, Sivasangari bermula baik apabila memenangi set pertama 11-3 dalam masa lapan minit.

Bagaimanapun, Wee Wern memulakan kebangkitannya dalam set kedua apabila mengungguli empat mata pertama sebelum menang 11-7.

Momentum itu kemudian diteruskan perseorangan utama negara itu apabila memanfaatkan siri kesilapan yang dilakukan Sivasangari untuk memenangi set ketiga 11-6.

Sivasangari ternyata bukan lawan yang mudah mengalah apabila pemain berusia 21 tahun itu kembali mengikat kedudukan dengan mengungguli set keempat 11-3.

Aksi kian sengit dalam set penentuan apabila kedua-dua pemain saling berbalas mata sehingga terikat 8-8 sebelum Wee Wern memanfaatkan pengalaman yang dimilikinya untuk tenang mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 11-9.

"Sangari sememangnya pemain yang berbakat dan mempunyai keyakinan tinnggi," Kata Wee Wern kepada Astro Arena.

"Anda dapat melihat betapa bersemangatnya dia dalam set pertama.

"Sejujurnya, sepanjang perlawanan ini, saya tidak melakukan banyak kesilapan, jadi Sangari bermain dengan amat baik dan saya mencuba untuk mengawal permainan sebaik mungkin.

"Tetapi adakalanya saya tidak dapat melakukannya dan ia masih berlaku dalam set kelima.

"Saya hanya perlu percayakan diri dan melihat apa yang Sangari mampu lakukan.

"Dia amat berbakat ketika memegang raket dan dapat melakukan pukulan yang baik secara tiba-tiba, jadi saya cuba mengatasinya sebaik mungkin," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen