Walaupun memerlukan keajaiban, pasukan negara tetap menyandarkan sesuatu yang luar biasa kepada wakil lelaki dalam Kejohanan Skuasy Lelaki Dunia 2019-2020.

Kejayaan S. Sivasangari melangkah ke pusingan ketiga sementara Aifa Azman ke pusingan kedua Kejohanan Wanita Dunia di Kaherah, Mesir, yang berakhir Jumaat lalu membangkitkan keterujaan peminat skuasy tanah air.

Kini, tumpuan beralih kepada Ivan Yuen dan Ng Eain Yow yang akan memulakan kempen Kejohanan Dunia di Doha, Qatar bermula esok.

Peluang untuk Ivan dan Eain Yow mencetuskan sensasi seperti rakan mereka dalam skuad wanita disifatkan sebagai hampir mustahil.

Pusingan pertama bakal menyaksikan Ivan membuka saingan menentang pilihan keenam dari Peru, Diego Elias, sementara Eain Yow berdepan pilihan ke-13 dari Mesir, Fares Dessouky.

Senario itu, bagaimanapun, tidak menghalang ketua jurulatih skuad negara, Ajaz Azmat, untuk mengharapkan sesuatu yang istimewa daripada dua anak buahnya itu.

"Mereka sendiri mahu beraksi dengan baik, itulah juga menjadi sasaran peribadi mereka.

"Eain Yow mempamerkan prestasi yang mengagumkan kebelakangan ini apabila tewas kepada lawan yang lebih baik, Raphael Kandra, dalam Skuasy Terbuka Mesir, minggu lalu.

"Saya harap mereka dapat beraksi baik dan menimba pengalaman berguna untuk menghadapi baki saingan tahun ini," kata Ajaz di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil, hari ini.