Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) meluahkan kegusaran di sebalik pemilihan sebagai tuan rumah Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia, Disember depan.

Ia susulan langkah kerajaan mewajibkan proses kuarantin selama dua minggu kepada mana-mana pengunjung.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam, mengakui Malaysia, yang kali terakhir menganjurkannya pada 1996, berisiko kehilangan hak sebagai tuan rumah.

"Peserta perlu menjalani proses kuarantin yang boleh mendorong kebanyakan daripada mereka untuk menarik diri.

"Saya perlu mengutus surat kepada pihak kerajaan untuk memohon adakah pemain dibenarkan untuk cuma menjalani ujian saringan atau tidak," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, di Bukit Jalil hari ini.

Andai SRAM berjaya mendapat kelulusan kerajaan, mereka perlu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terhadap pemain dan pegawai.

Ketika proses mendapatkan kelulusan kerajaan sedang dijalankan, SRAM sudah pun menetapkan sasaran kelompok lapan terbaik kepada pemain negara yang menyaksikan Malaysia muncul negara terbaik Asia menerusi pungutan satu pingat perak dan empat gangsa.

"Hong Kong dan India sering menjadi musuh ketat kepada Malaysia dalam kalangan pasukan Asia.

"Kami sangat teruja untuk bertemu kedua-dua negara ini," tambahnya.