Jadual padat sirkit antarabangsa menyukarkan barisan kejurulatihan skuad skuasy negara untuk mengumpulkan kesemua pemain menjelang Kejohanan Berpasukan Asia di Kuala Lumpur bulan depan.

Low Wee Wern akan mengetuai skuad wanita sementara Ng Eain Yow, yang berpangkalan di England, akan memimpin skuad lelaki.

Bagaimanapun, kesibukan barisan pemain terbaik negara dalam mengejar kejuaraan dan mata ranking dunia bermakna hanya tinggal waktu singkat untuk mereka membentuk persefahaman.

"Kerana musim sudah bermula dan terdapat beberapa pemain yang sedang bersaing di luar negara," kata ketua jurulatih skuad negara, Ajaz Azmat.

"Semua pemain sedang sibuk, jadi kami sedang memantau setiap pemain untuk memastikan mereka sentiasa cergas dan berada di prestasi terbaik.

"Sesetengah daripada mereka akan terus berlatih di sini manakala sebahagian yang lain akan pulang pada 23 Mac ini," katanya.

Berdasarkan keputusan bagi acara berpasukan dalam Sukan Asia Indonesia 2018, skuad lelaki dijangka mampu mencabar kejuaraan.

Skuad wanita pula perlu berada di kemuncak prestasi untuk bersaing dengan India dan Hong Kong.

"Kami boleh mengulanginya seperti yang kami lakukan dalam Sukan Asia.

"Tetapi ia masih bergantung kepada bagaimana cara kami bermain pada hari itu.

"Kita tahu Hong Kong dan India adalah pasukan yang bagus.

"Jadi, kami perlu menewaskan mereka," tambahnya.