Teka-teki mengenai siapa yang bertanggungjawab untuk mengendalikan skuad tinju negara akhirnya terlerai apabila Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) mengesahkan pelantikan ketua jurulatih baru dari Uzbekistan, Rustam Saidov.

Bekas pemenang pingat gangsa kategori heavywieght Sukan Olimpik Sydney itu ternyata teruja untuk memulakan tugasnya apabila mendaftar diri sehari lebih awal di pusat latihan walaupun sepatutnya memulakan khidmatnya esok.

"Akan datang, Insya Allah, pasukan Malaysia kita akan layak ke (Sukan Olimpik) Tokyo dan memberikan pingat," kata Saidov kepada Nadi Arena.

"Dan Insya Allah, kami juga akan memperoleh pingat dalam Sukan SEA dan kejohanan di luar negara.

"Kita perlu melakukan tugas ini bersama-sama dengan semangat setia kawan dan melawat negara-negara lain seperti Kazakhstan, Uzbekistan dan Cuba di mana akademi tinju di sana berada di tahap yang amat tinggi.

"Kita di Malaysia tiada masalah kerana kita juga memiliki peninju yang bagus di Malaysia. Saya boleh berjanji mengenainya," katanya.

Dalam pada itu, Presiden PTAM, Iruan Zulkifli, berkata kontrak dua tahun yang ditandatangani Saidov disertakan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi tahun ini.

"Sekurang-kurangnya (perlu meraih) lebih daripada satu pingat emas dan kalau boleh saya mahukan tiga.

"Sewaktu di Kuala Lumpur (2017) kami mendapat satu emas dan di Filipina (2019) pula kami mendapat tiga gangsa tetapi di Vietnam selepas ini, wajib lebih daripada satu pingat emas," katanya.