Cheong Jun Hoong menafikan wujud perpecahan dalam skuad terjun negara ekoran penamatan kontrak ketua jurulatih, Yang Zhuliang, dengan skuad kebangsaan merancang kem latihan pusat di Beijing, China, bermula 20 Januari depan.

Penerjun negara kembali fokus terhadap sesi latihan dan menerima keputusan penamatan kontrak Zhuliang itu.

Ia membuktikan bahawa kem negara bersatu walaupun sebelum ini, beberapa penerjun tidak berpuas hati dengan nasib yang menimpa pengendali mereka itu.

Apa yang penting, mereka menerima arahan penolong jurulatih, Zhang Yuku, menjelang kejohanan pertama musim 2018, Grand Prix (GP) Dunia di Rostock, Jerman, Februari depan.

"Setakat ini, sesi latihan kami berjalan dengan baik dan normal. Cuma ketika ini, saya agak sibuk dengan hal di universiti.

"Kami berlatih dan mula bekerjasama seperti biasa," ujar juara dunia 10 meter platform wanita itu ketika ditemui di Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, beberapa penerjun tidak berlatih hari ini atas faktor berbeza.

Pandelela Rinong masih bercuti sempena Krismas sementara Leong Mun Yee mengalami masalah kesihatan.

"Ia satu perancangan yang sangat bagus (ke China), lebih-lebih lagi menjelang Sukan Komanwel.

"Paling penting, kami akan bertanding di Jerman sebelum Sukan Komanwel," kata penerjun lelaki negara, Ooi Tze Liang.