Kehilangan ketua jurulatih skuad terjun negara, Zhang Yukun, meninggalkan persoalan adakah Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mempunyai calon pengganti terbaik ketika masa semakin suntuk bagi saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mengapa skuad terjun negara kerap hilang jurulatih terbaik?

Situasi itu menimbulkan persoalan adakah Malaysia di landasan tepat menghadapi musim 2019 yang penuh mencabar, terutama memburu tiket ke Olimpik Tokyo.

Yukun meninggalkan Malaysia minggu lalu selepas menerima tawaran sebagai jurulatih Wilayah Hiebe, China walaupun kontraknya akan tamat 31 Disember ini.

Malah, ASUM masih mencari pengganti yang akan dicadangkan oleh Yukun, sekali gus membayangkan calon itu bukan salah seorang pengendali terbaik dunia.

"Sejak saya memulakan karier dalam sukan terjun, saya berlatih di bawah pendekatan dari China. Saya masih belum mengenali corak latihan dari Eropah," kata penerjun negara, Cheong Jun Hoong.

"Tetapi segala keputusan dalam memilih jurulatih terletak di tangan ASUM dan Majlis Sukan Negara."

Tahun lalu, skuad terjun hilang khidmat Yang Zhuliang yang ditamatkan kontrak ekoran isu mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan atlet.

Realitinya, pendekatan itu menjadi teras disiplin penerjun negara hingga meraih pingat Sukan Olimpik London 2012 dan Rio, dua tahun lalu.

Perkembangan ini menimbulkan persoalan adakah skuad terjun masih lagi prospek terbaik meraih pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo apabila Jun Hoong dan Pandelela Rinong diletakkan dalam kluster 1 program latihan sistem 'tiering' Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, ASUM mengakui usaha memancing semula Yang Zhuliang gagal.

Tindakan ini membayangkan keputusan menamatkan kontrak pengendali kelahiran China itu tahun lalu dibuat secara terburu-buru.

Zhuliang ditamatkan kontrak ekoran tuduhan mewujudkan suasana ketakutan dalam skuad terjun negara yang berpunca daripada kes gangguan seksual oleh seorang bekas penolong jurulatih negara.

Justeru, tumpuan kini terarah untuk mendapatkan calon pengganti Yukun secepat mungkin.

"Kami masih dalam proses memilih jurulatih baru skuad terjun. Kami telah mengkaji daripada semua sudut bagi memastikan matlamat untuk meraih keputusan positif Sukan Olimpik tercapai," kata Presiden ASUM, Datuk Seri Shahidan Kassim.