Skuad snuker negara hilang pusat latihan

Oleh Muzaffar Musa 29 Mac 2021 295
Skuad snuker negara hilang pusat latihan
Skuad snuker negara menerima tamparan besar menjelang Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini apabila pusat latihan mereka di Bandar Sunway, Kuala Lumpur terpaksa ditutup.

Tindakan itu diambil ekoran kegagalan Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF) menampung kos operasi yang mencecah lebih RM30,000 sebulan.

Dalam satu temubual Nadi Arena, Presiden MSBF, Melvin Chia berkata: "Selepas PKP (Perintah kawalan pergerakan) dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dilanjutkan, tempat latihan ini terpaksa ditutup.

"Selepas ditutup sejak enam bulan lalu, kami tiada pendapatan dan tidak mampu membayar tunggakan sewa dan bil utiliti yang tertangguh ini.

"Kos operasi tenpat ini agak tinggi kerana berada di kawasan komersial, sewa sahaja dalam lingkungan RM15,000 dan kos lain pula dalam RM15,000 lagi.

"Kami memilih tempat ini kerana kami dapat menampungnya dengan perniagaan kami, orang-orang awam yang datang bermain di sini.

"Kami amat memerlukan satu tempat latihan untuk atlet kami berlatih dan ia amat mustahak.

"Dengan adanya pusat latihan seperti ini, kami boleh mendapatkan keputusan yang baik dalam Sukan SEA atau Sukan Asia yang akan datang," katanya.

Melvin berkata persatuan itu turut mengharapkan bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dalam menangani waktu sukar itu.

"Kami sememangnya mengharapkan bantuan daripada MSN kerana kami merupakan satu sukan yang sering dipandang dengan imej buruk dan dikatakan membawa unsur yang kurang sihat tetapi pusat latihan ini sememangnya satu pusat latihan sebenar, tidak dibenarkan merokok dan meminum arak.

"Kami mencuba untuk berdikari agar kami dapat menampung program pembangunan kami dan ia amat mustahak.

"Jika kami tidak dapat menjalankan projek ini, kami terpaksa membatalkan program kami," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen