Jurulatih skuasy kebangsaan, Ong Beng Hee, percaya dua anak buahnya, Ng Eain Yow dan S. Sivasangari, mampu dijadikan sandaran utama menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berdasarkan prestasi memberangsangkan mereka sepanjang tahun ini.

Menurut Beng Hee, kesemua anak buahnya kini berada di landasan tepat dalam mempersiapkan diri untuk meraih pingat emas di temasya dwitahunan itu, tahun depan.

Baginya, status Eain Yow dan Sivasangari sebagai juara skuasy remaja dunia dan Asia menjadi kunci utama untuk mempertaruhkan mereka berdua sebagai pemain berpotensi besar untuk beraksi nanti.

Apa yang penting, sebarang kecederaan diharap tidak berlaku dalam masa 10 bulan ini.

"Saya percaya kami akan memenangi pingat emas.

"Mereka hanya perlu kekal cergas dan sihat pada Ogos 2017.

"Kalau mereka tercedera, inilah masanya kerana saya menjangkakan semua pemain saya menampilkan permainan terbaik untuk Sukan SEA 2017.

"Kami cukup yakin mampu memenangi tujuh daripada sembilan pingat yang ditawarkan kerana kami akan bertanding dalam tujuh kategori," jelas Beng Hee.

Bekas pemain nombor satu lelaki negara itu turut merancang untuk menghantar kesemua pemainnya menjalani sesi latihan intensif di luar negara sebelum Ogos tahun depan.

Namun, ia masih dalam perbincangan dan hanya boleh diputuskan oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

"Saya berharap untuk menghantar pemain ke England dan Mesir, ini akan ditentukan oleh pihak atasan.

"Tugas saya adalah mempersiapkan atlet dan saya rasa memang ada perancangan untuk menghantar pemain berlatih di luar negara."