Skuad skuasy berpasukan wanita negara memulakan saingan di Paris, Perancis dengan langkah kanan selepas menundukkan Belanda 3-0.

Datuk Nicol David yang mengetuai pasukan Malaysia bersama Delia Arnold dan S. Sivasangari tidak berdepan masalah untuk menundukkan Belanda dalam aksi Kumpulan C itu.

Sivasangari tidak mempamerkan aksi kekok dalam penampilan sulungnya dalam kejohanan tersebut dengan mudah menewaskan Tessa Ter Sluis 11-4, 11-7, 11-7.

Momentum kemenangan negara diteruskan oleh Nicol yang membenam Natalie Grinham 11-6, 11-3, 11-1.

Hanya Delia yang dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan ke atas Milou Van Der Heijden dalam aksi lima set 9-11, 11-7, 11-5, 8-11, 11-5.

Awal pagi esok, Malaysia bakal berdepan Australia yang merakamkan kemenangan ke atas Austria 3-0 dalam aksi sulung mereka.