Pemanah recurve wanita negara tetap menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil walaupun tidak ditawarkan kontrak baru dalam Program Podium musim 2020.

Dua minggu lalu, nama trio negara yang terdiri daripada Nur Aliya Ghapar, Loke Shin Hui dan Nur Afisa Abdul Halil telah digugurkan dalam program kebangsaan itu.

"Kontrak Program Podium saya akan tamat hujung bulan ini dan selepas itu saya akan berlatih di UPM (Universiti Putra Malaysia) sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Thailand hujung tahun ini," kata Aliya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Menurut Shin Hui: "Semestinya saya berasa sedih sebab sudah lapan tahun berada di sini."

Skuad recurve wanita dianggap gagal mencapai sasaran terutama pulang tangan kosong dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Turut kelihatan atlet muda dari Kedah, Nur Ain Ayuni Fozi, yang turut kelihatan dalam sesi pagi tadi.

Senario peralihan itu bagaimanapun tampak tidak banyak menjejaskan rentak skuad wanita negara memandangkan hanya Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi fokus utama pada tahun ini.