Skuad ragbi wanita Sabah akan membawa cabaran negara ke Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah Wanita Asia Bawah 17 Tahun yang akan berlangsung di Dubai pada 29 hingga 30 November ini.

Kejohanan yang membabitkan penyertaan 12 pasukan itu juga adalah pra-kelayakan Olimpik Remaja 2018.

Penaung Kesatuan Ragbi Sabah (KRS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata ia adalah penyertaan pertama Malaysia dalam kejohanan itu dan ia wajar diberi perhatian Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia.

Katanya, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang telah dimaklumkan mengenai pasukan berkenaan, berharap akan ada pertemuan dengan beliau sebelum mereka berlepas ke Dubai.

"Setakat ini, segala perbelanjaan pasukan ke kejohanan itu ditanggung sendiri dan mereka bernasib baik kerana ada rakan-rakan serta syarikat yang tampil menghulurkan bantuan.

"Apabila ada pemain-pemain muda yang minat dan berpotensi dalam sukan ini, kita tidak ada cara lain selain membantu mereka. Apa lagi mereka kini membawa cabaran negara dalam Kejohanan Asia," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat pasukan berkenaan di Kota Kinabalu, semalam.

Turut hadir ialah isterinya, Puan Sri Diana Diego yang juga pengerusi Kesatuan Ragbi Wanita. Diana juga akan bersama pasukan ke Dubai selaku ketua kontinjen negara.

"Kami berazam untuk balik dengan pencapaian yang meletakkan pasukan lebih baik daripada ranking tercorot. Kami telah membuat persiapan 43 kali latihan pusat bagi menghadapi kejohanan ini.

"Pasukan ini adalah hasil usaha program pembangunan kami. Saya percaya dalam tempoh dua tahun lagi, pasukan ini akan lebih maju. Apapun, kemajuan mereka juga bergantung kepada sokongan dan bantuan," katanya.

Dalam kejohanan itu, Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan D bersama pasukan pilihan kedua, China dan Thailand.

Pasukan pilihan pertama, Jepun, berada dalam Kumpulan A bersama pasukan India dan Laos manakala Kumpulan B terdiri daripada Kazakhstan, UAE dan Iran sementera Kumpulan C dianggotai Hong Kong, Sri Lanka dan Filipina.