Skuad ragbi makin rancak jalani persiapan 

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2017 24
 Skuad ragbi makin rancak jalani persiapan 
Aksi persahabatan menentang KL Tigers memberi peluang buat ketua jurulatih skuad ragbi negara, Lee Nyuk Fah, untuk menguji kemampuan pemain baru bagi membina keserasian dalam pasukan. 

Nyuk Fah menurunkan seramai 15 pemain yang menggabungkan beberapa muka baru bagi pertemuan dengan KL Tigers, hari ini. 

Bukan keputusan yang menjadi ukuran tetapi yang lebih penting sejauh mana mereka dapat menyesuaikan diri bersama rakan-rakan senior dalam persediaan menghadapi Kejohanan Asia Premier, tahun depan. 

Aksi ini merupakan sebahagian daripada fasa awal kem latihan pusat yang menumpukan kepada aspek ketahanan serta pemantapan fizikal. 

"Perlawanan pertama ini merupakan fasa pertama sebelum kami melangkah ke bulan Januari untuk menilai kemampuan pemain, terutama bakat muda. 

"Ia juga merupakan sebahagian daripada pemilihan pemain sebelum kami memasuki fasa kedua pada April nanti," katanya. 

Dalam masa sama, Nyuk Fah menjangkakan kehadiran dua lagi tonggak Fiji selain pemain yang beraksi dalam Liga Jepun, K. Dineswaran, dapat menambahkan lagi kekuatan pasukan. 

Mereka akan menyertai pasukan bermula bulan depan sebelum Nyuk Fah memberi penekanan terhadap aspek taktikal dengan siri jelajah ke New Zealand menjadi tumpuan pada Mac nanti. 

"Latihan seperti ini memberi ruang kepada saya untuk membetul dan mempersiapkan taktikal permainan," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen