Skuad ping pong negara berada di landasan terbaik dalam mengharungi persiapan tahun depan apabila bakal menerima sentuhan dari luar negara untuk membantu Beh Lee Wei selaku ketua jurulatih ketika ini.

Lee Wei mula mengendalikan skuad negara sejak 2015 bersama-sama penolongnya, Beh Lee Fong.

Kini, Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) sedang meneliti beberapa calon jurulatih luar negara, khususnya dari China, untuk membantu dua jurulatih itu mempersiapkan atlet sempena Sukan SEA Filipina dan siri jelajah Dunia Persekutuan Ping Pong Antarabangsa ( ITTF).

Tetapi, cadangan itu masih belum diusulkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sehingga mereka sudah memutuskan calon yang berkemampuan untuk membimbing pasukan.

"Kami masih memantau calon jurulatih yang sesuai dan calon-calonnya terdiri dari banyak negara.

"Kami sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa jurulatih kelahiran China yang ketika ini sedang berkhidmat di luar negara.

"Buat masa ini, kami akan mengenal pasti tahap calon berkenaan yang sesuai dengan peruntukan yang boleh kami usahakan," kata Setiausaha Kehormat TTAM, Yeoh Lip Khoon.

Dalam masa sama, TTAM akan berusaha untuk menghantar atlet untuk menyertai seberapa banyak kejohanan jelajah ITTF bagi memperbaiki kedudukan ranking berikutan skuad negara hanya berkesempatan ke Terbuka Thailand, Mei lalu.

"Kami mahu memberikan pendedahan kepada atlet dengan menyertai seberapa banyak kejohanan yang kami mampu.

"Namun, bajet kemblai menjadi persoalan utama dan kami berharap mendapat bekerjasama dengan badan bukan kerajaan selain sokongan penajaan," katanya.