Skuad ping pong negara tempang menghadapi kejohanan mendatang, susulan persaraan dua tonggak senior, Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim.

Perkembangan mengejut ini disahkan ketua jurulatih negera, Beh Lee Wei, yang sedang merencana semula barisan skuad senior untuk menghadapi Sukan Komanwel 2018.

Difahamkan, Shakirin dan Sock Khim memaklumkan keputusan mereka kepada Lee Wei selepas tamat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Mereka sudah memuktamadkan keputusan, cuma tunggu pengumuman rasmi daripada mereka sahajalah.

"Sock Khim bergelut dengan kecederaan untuk terus bermain. Shakirin mahu memberi laluan kepada pemain muda selepas tampil dalam beberapa edisi Sukan SEA.

"Ini berita sedih kerana pengorbanan mereka dalam ping pong hampir 15 tahun.

"Untuk berhenti terus dan tidak mempunyai kaitan dengan ping pong memang sukar," kata jurulatih itu.

Pengunduran mereka itu bermakna hanya Ashraf Haikal Rizal, Lee Rou You dan Ho Ying dilihat sebagai sandaran paling berpengalaman.

Skuad wanita sudah pasti paling terkesan menjelang kempen di Gold Coast Australia 2018 memandangkan Malaysia memenangi pingat perak dalam acara berpasukan wanita di Glasgow, Scotland 2014.

"Ia akan mengambil masa yang panjang untuk membentuk pemain. Sudah pasti Sukan Komanwel 2018 nanti kami tidak akan mencapai sesuatu, sasaran saya adalah empat tahun akan datang."