Skuad pelayaran Terengganu tunjuk belang di Doha

Oleh Tengku Danish Bahri 3 Januari 2020 255
Skuad pelayaran Terengganu tunjuk belang di Doha
Skuad pelayaran Terengganu mengharumkan nama negara selepas meraih pingat emas acara optimist berpasukan dalam Kejohanan Perlumbaan Antara Kelab Antarabangsa di Kelab Marina Doha, Qatar, yang berakhir kelmarin.

Asmadi Azman, Muhd Idris Mohd Zawawi, Fikri Aqil Mohd Fauzi, Muhd Syazwan Kamaruzaman dan Nazmi Qusyairi Mohd Nazri tampil cemerlang dengan memenangi keenam-enam perlumbaan untuk mengutip 74 mata keseluruhan.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu mengetepikan Turki di kedudukan kedua manakala pingat gangsa dimenangi Thailand.

Sementara itu, Terengganu juga tidak pulang tangan kosong dalam acara individu selepas Muhd Idris menyumbang gangsa di belakang dua pelayar Thailand.

Jurulatih pelayaran Terengganu, Abdul Rani Idris, berkata kejayaan pingat emas tersebut menjadi tonik terbaik untuk memulakan tahun 2020 menuju temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, Julai depan. 

Menurutnya, Muhd Idris mempamerkan prestasi baik menerusi acara individuwalaupun beraksi dalam keadaan angin perlahan sejak hari pertama pertandingan.

Nasib, bagaimanapun, tidak memihak Terengganu apabila dua pelayar Thailand lebih handal menguasai perlumbaan untuk menggondol pingat emas dan perak acara individu.

"Pelayar Terengganu menunjukkan petanda positif dan kami masih ada masa untuk memperkemaskan teknik kendalian dan taktikal.

"Saya lihat persiapan semakin baik, sekali gus mencerahkan peluang membantu kontinjen Terengganu untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan Sukma," jelas Abdul Rani.

Walaupun sekadar meraih perak dalam acara optimist berpasukan dan individu lelaki dalam Sukma 2018, skuad pelayaran masih antara penyumbang terbesar emas Terengganu.

Memungut lapan emas di Perak, Abdul Rani turut menjangkakan saingan sengit daripada pasukan pelayaran Sabah, Kedah dan Selangor dalam edisi di Johor itu. 

"Pihak persatuan sudah merangka beberapa latihan dan kejohanan lagi untuk disertai sebelum senarai akhir pelayar dipilih Jun ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen