Berbaki 17 hari lagi sebelum Kejohanan Ragbi Asia Bawah 19 Tahun bermula, kemampuan skuad negara masih belum ampuh meskipun mencatat kemenangan dalam dua aksi perlawanan persahabatan sebelum ini.

Dalam tempoh yang singkat itu, jurulatih, Mohamad Faiz Shamsukhidir, masih lagi mencari gandingan yang sesuai untuk membawa cabaran negara dalam kejohanan itu di Universiti Putra Malaysia, Serdang, 11-17 Disember ini.

Walaupun dua perlawanan persahabatan menentang KL Saracens dan Royal Selangor Club memihak kepada skuad negara, namun ia bukanlah kayu ukuran yang boleh dibanggakan.

"Kami ada dua minggu lagi untuk memperbaiki kelemahan. Itu sudah memadai," katanya.

Berdepan Sri Lanka, Taiwan dan juga juara tahun lalu, Hong Kong, pastinya menjadi laluan berliku menanti skuad negara.

Begitupun, Faiz menaruh keyakinan tinggi anak buahnya bukan pasukan belasahan kerana percaya mereka mampu mencipta kejutan dalam aksi menentang lawan yang lebih kuat nanti.

"Kami sasarkan kemenangan ke atas Taiwan tetapi kami akan bertemu Sri Lanka dahulu, yang juga pasukan terkuat di Asia sekarang ini.

"Kami akan berikan yang terbaik dan dengan memiliki kelebihan bermain di tempat sendiri, saya harap kami meraih kemenangan ke atas Sri Lanka." tambahnya.