Skuad olahraga para negara mahu membalas kepercayaan kekal sebagai sukan tumpuan dalam program prestasi tinggi sukan negara dengan mengatasi pencapaian dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Olahraga para di samping empat sukan lain berada di peringkat atau kelas satu penstrukturan semula Program Podium.

Ini bermakna mereka berada dalam senarai sokongan terbaik daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menghadapi temasya Tokyo 2020.

Dalam edisi terdahulu, Malaysia memenangi tiga pingat emas dan satu gangsa sambil menjadi penyumbang besar kepada kejayaan memungut 17 pingat emas dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada MSN yang mengenal pasti kemampuan kami. Saya berharap kami akan berusaha untuk menambah lagi bilangan pingat dalam edisi Tokyo 2020," kata ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan.