Skuad angkat berat negara terpaksa melupakan khidmat Wang Zhi Quan untuk kejohanan kelayakan Sukan Olimpik di Uzbekistan bermula Sabtu ini selepas pengendali itu mahu memberi laluan kepada jurulatih lain.

Zhi Quan, jurulatih kelahiran China, mengambil keputusan untuk memberi pendedahan kepada jurulatih tempatan menggalas tugas dalam kejohanan penting.

Tugas itu akan dipikul penolong jurulatih, Mohd Nor Shahrizan Ruslan, untuk mengiringi Mohd Erry Hidayat dan Aznil Bidin memburu mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo.

Aznil terutamanya perlu menaiki podium untuk melonjak daripada ranking ke-32 kelayakan Sukan Olimpik dengan hanya 14 atlet terbaik kategori 61 kilogram akan layak ke Tokyo.

"Walaupun jurulatih tidak bersama kami, ia tidak menjejaskan persiapan dan kata-kata semangatnya adalah bekalan untuk beraksi dengan cemerlang," kata Aznil.

"Program telah ditetapkan kepada kami untuk bersaing di Uzbekistan dan saya berharap mampu mencapai keputusan positif di sana nanti," kata Erry.

Olimpik Rio 2016 menyaksikan skuad angkat berat diwakili Mohd Hafifi Mansor yang meraih tangga ke-12 kategori 69kg.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik dan membuat sesuatu yang luar biasa," kata Shahrizan pula.




Editor: Ammar Hakim