Ketua jurulatih pasukan hoki ais negara, Kristov Kovago, mengingatkan pemainnya bahawa perjuangan masih belum selesai selepas berjaya mengejutkan pasukan pilihan, Kyrgyzstan, 6-1 dalam Kejohanan Hoki Ais Piala Cabaran Asia B-20 di Empire City, Damansara Perdana, semalam.

Selepas mengharungi dua perlawanan lalu, ini merupakan aksi paling cemerlang ditampilkan pemain negara.

Skalipun mereka dikejutkan dengan gol awal menerusi Zhanbolot Tagaev pada lapan minit pertama, perwatakan pemain selepas detik itu amat menakjubkan.

Kovago, bagaimanapun, tidak mahu terlalu gembira kerana masih ada pertembungan terakhir dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) jika mahu memastikan kejuaraan.

"Saya harus katakan mereka mengikuti perancangan perlawanan. Saya hampir berpuas hati," katanya.

Dalam pada itu, pemain yang layak dijulang selaku wira negara ialah penjaga gol, Shahrul Ilyas Abdul Shukor.

Dia cemerlang mematahkan berpuluh-puluh serangan lawan yang menjadi punca Kyrgzstan gagal menembusi gawang negara pada dua babak berikutnya.

"Selepas gol pertama, saya fikir kami perlu bangkit dan pemain harus percayai saya. Jadi, mereka melakukan tugas mereka, saya melakukan kerja saya. Mereka menjaringkan gol untuk saya. Ia berlaku," kataya

Mohd Hariz Mohd Oryza menyudahkan tiga jaringan buat pasukan negara, diikuti Nurul Nizam Deen yang meledak dua gol dan satu gol daripada Muhammad Aqeel Noor Hisham.