Malaysia menempah slot kelayakan terakhir ke Piala Dunia 2020 apabila menduduki ranking ketiga terbaik dalam Kejohanan Kriket Kelayakan Piala Dunia T20 Zon B Asia selepas menewaskan China dengan kelebihan satu larian, hari ini.

Pemain negara, S. Krishan, beraksi cemerlang dengan tiga wiket dan mengeluarkan tiga pemukul China, diikuti Abdul Rashid, Pavandeep Singh dan Anwar Rahman yang masing-masing memperoleh dua wiket manakala Virandeep Singh meraih satu wiket.

Shafiq Sharif dan Anwar Arudin kemudiaan menjadi taruhan pengendali negara, Sampath Perera, selaku pemukul pada inning Malaysia.

Anwar melakukan 11 larian manakala Syafiq dengan 19 larian untuk mereka menamatkan aksi tanpa sebarang wiket, sekali gus meletakkan Malaysia di tempat ketiga dalam memperoleh slot terakhir ke Kejohanan Kriket Kelayakan Piala Dunia T20, tahun depan.

"Aksi kelayakan seterusnya pada bulan April, jadi kami perlu melihat kepada tempoh enam bulan tersebut bagi mengekalkan tahap kecergasan fizikal kami. Bagi persatuan pula, kami perlu memberi peluang untuk pemain-pemain kekal beraksi bagi memperoleh pendedahan terbaik," kata kapten negara, Ahmad Faiz Mohammad Noor.

Kejayaan ini membuktikan kecekalan skuad negara yang tidak putus asa walaupun berdepan kemelut venue latihan di Kinrara Oval.

Malah, kejayaan ini diharap mampu memberi sinar dan harapan berterusan demi mempertahankan salah satu venue kriket terbaik Asia itu.

"Pusat latihan amat penting buat kami. Saya amat puas hati dengan keputusan yang diperoleh skuad negara. Saya harapkan dengan keputusan ini, kami mendapat sokongan daripada pihak pemaju dan kerajaan dalam mengekalkan Kinrara Oval," kata Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Mahinda Valipuram.